50 Kata Mutiara dalam Islam [Bagian 2]

Pada kiriman sebelumnya, kami telah menukilkan 50 kata mutiara dalam Islam. Kiriman berikut ini merupakan kelanjutan dari 50 kata mutiara tersebut. 


50 Kata Mutiara dalam Islam [Bagian 2]


051. Hadraji Maulana Muhammad In’amul Hasan rahmatullah’alaih berkata: 1. Sibukkan dirimu dalam usaha agama; jika tidak kamu pun akan sibuk tapi bukan dalam agama. 2. Gunakan waktumu untuk agama; jika tidak waktu pun akan habis tapi bukan untuk agama. 3. Gunakan hartamu untuk agama; jika tidak harta pun akan habis tapi bukan untuk agama. 4. Mati lah kamu dalam agama; jika tidak kamu pun akan mati tapi bukan untuk agama.

052. Dakwah para Anbiya AS mentablighkan 1. Tauhid: Keyakinan yang sempurna, 2. Risalah: Jalan keselamatan atau cara hidup, 3. Akhirat: Tujuan akhir kehidupan atau tempat kembali manusia. - Maulana Yunus

053. Maksud dihantar para Anbiya AS adalah untuk 1. Dakwah (Yatluu 'alaihim aayaatihi): Menyampaikan perkara yang Haq, 2. Ta'lim (Yu'allimuhumul kitaab): Mengajar manusia mengenal yang Haq, 3. Tazkiyah (Yuzakkiihim): Memperbaiki Akhlak dan Keyakinan manusia. - Maulana Yunus

054. Nikmat kerajaan Allah berikan kepada musuh Allah juga seperti Firaun dan Namrud. Nikmat harta juga Allah telah berikan kepada musuhnya yaitu Qorun. Nikmat kesehatan Allah juga berikan kepada musuhnya yaitu Kaum Ad. Nikmat Teknologi industri dan Arsitektur juga Allah berikan kepada kaum Tsamud. Nikmat Pertanian juga Allah berikan kepada kaum Saba. Namun nikmat yang paling mulia adalah pertolongan dari Allah untuk mengikuti jalannya para Anbiya AS dan sahabat RA. - Maulana Yunus

055. Abu Ali ad-Daqqaq rahimahullah berkata: “Siapa yang banyak mengingati kematian maka akan mendapat tiga kemuliaan:- bersegera untuk bertaubat, hatinya qana'ah (merasa cukup) dan sentiasa bersemangat dalam beribadah.” (at Tadzkirah, Imam al-Qurthubi, m/s. 15)

056. Mencari kemuliaan dalam usaha dakwah maksudnya adalah bagaimana Pemilik dakwah yakni Allah Swt redha kepada da'iNya.

057. Ahlul Masjid ialah orang-orang yang senantiasa memakmurkan masjid Allah dan hatinya senantiasa terpaut dengan masjid. Atas maksud ini, perlu setiap daripada kita bersedia dan mengambil keputusan supaya menjadi Ahlul Masjid dan memakmurkan masjid-masjid Allah dimana sahaja berada. - Bayan KH. Abdul Halim

058. Jika Dakwah yang Haq ditegakkan maka Allah Swt akan hancurkan keyakinan yang batil. Dakwah adalah cara Allah Swt untuk menghancurkan kebatilan dan menghadirkan yang Haq. Allah Swt tidak perlu tentera untuk menghancurkan kebatilan. Allah Swt hancurkan tentera Abrahah dengan burung kecil yang membawa batu, lalu kaum 'Ad dengan angin, kaum Luth dengan gempa dan gunung, Saba' dengan banjir dan kaum Tsamud dengan teriakan malaikat. - Maulana Ibrahim

059. Allah Swt telah jadikan dunia ini sebagai tempat ujian, Darrul Intihan. Setiap manusia dalam keadaan apa sahaja dan siapa sahaja akan di uji oleh Allah Swt. Kesenangan itu ujian daripada Allah, kesusahan juga merupakan ujian daripada Allah. Allah Swt tidak memandang status atau kedudukan seseorang, yang Allah lihat adalah sejauh mana orang itu mahu sabar dalam ujian dan taat pada perintah Allah ketika di uji. - Maulana Yunus

060. Semua manusia ingin kebahagiaan. Allah Swt hanya memberikan kebahagiaan kepada mereka yang mengikuti Nabi s.a.w. Kepada mereka yang tiada keinginan di dalam hatinya untuk mengikuti cara kehidupan Nabi s.a.w, maka Allah Swt akan menjadikan segala yang dilakukan seakan-akan mendatangkan manfaat. Sebaliknya, apa yang mereka kerjakan hanyalah menjadi asbab mudharat. Hidup akan terperangkap di dunia ini, yang ada hanyalah kekecewaan, ketakutan, tiada ketenangan, selalu berasa kekurangan dan tidak pernah merasa cukup.

061. Sesungguhnya kita bukanlah orang Pakistan, India, Indonesia, Amerika atau orang dunia, tapi kita adalah orang akhirat yang sedang berada di dunia. Nabi Adam a.s adalah berasal dari syurga, maka kampung kita yang sebenarnya ada di syurga. Oleh kerana itu, setiap diri kita harus kembali ke syurga. - Hajji Mohammed Abd Wahhab

062. Dalam menjalankan usaha dakwah, jangan merendahkan sesiapa, walau pun orang tersebut buta huruf atau miskin. Jangan mengutamakan orang kaya atas orang miskin. Bahkan hendaknya lebih berghairah dan bergembira ketika menghadapi orang miskin. - Maulana Said Ahmad Khan

063. Selalulah berusaha untuk menjaga agar hati tetap bersih dalam melihat keadaan umat Islam. Tanpa kebersihan hati akan timbul perasaan benci di dalam hati sehingga akan menghalang usaha mengislahkan diri. Hadapilah orang-orang yang berbuat maksiat dan zalim dengan lemah lembut dan kasih sayang. - Maulana Umar Palampuri rah.a

064. Orang alim ialah doktor agama dan cinta dunia ialah penyakit agama. Apabila doktor telah memasukkan atau mengheret penyakit ke dalam dirinya, maka bilakah masanya dia boleh mengubati orang lain? (Fudhail ibn 'Iyadh)

065. Sheikh Junaid al Baghdadi rahimahullah berkata: Ilmu yang bermanfaat ialah ilmu yang menunjukkan pemiliknya kepada sifat tawadhuk, sentiasa bermujahadah, menjaga hati, menjaga anggota zahir dari melakukan maksiat, takut kepada Allah, berpaling daripada dunia dan penuntut dunia, menjauhi orang-orang yang mengasihi dunia, meninggalkan apa yang ada di dunia kepada ahli dunia, suka memberi nasihat kepada makhluk, baik perilaku terhadap makhluk, suka duduk bersama golongan fuqara, memuliakan kekasih-kekasih Allah dan menghadapkan diri kepada apa yang mereka utamakan.

066. Sebahagian ulama berkata: Sesiapa yang bertambah ilmunya, maka bertambah jugalah kekhusyukannya (kerendahan hatinya). Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh Junaid al Baghdadi rahimahullah, Apakah ilmu yang paling berguna? Jawabnya, Ilmu yang menunjukkan kamu kepada Allah swt dan menjauhkan kamu daripada menurut hawa nafsumu.

067. Adalah ditakuti seseorang Islam yang benci kepada orang Islam yang lain, matinya dalam keadaan tidak beriman. - Hajji Mohammed Abd Wahhab

068. Hendaklah bergantung lebih dengan janji-janji Allah daripada janji-janji manusia. (Syaqiq Al-Bakhi)

069. Sentiasalah mengingat Allah. Jika kamu tidak boleh berbuat itu, maka ingatlah mati selalu. (Abu Ishaq Ibrahim Al-Syaibani)

070. Jika kamu ingin merdeka dari belenggu kehendak dunia, sembahlah Allah dengan ikhlas. (Abu Ishaq Ibrahim Al-Syaibani)

071. Maksud ilmu yang pertama dan utama agar seseorang itu mengislah kekurangan dan kelemahan dirinya, memahami kewajipan atas dirinya dan berusaha memperbaiki dirinya. Apabila ilmu digunakan untuk menyalahkan orang lain dan mencari keaiban orang, maka ilmu itu akan menjadi asbab takabur dan sombong lalu ilmu itu akan membinasakan pemilik ilmu itu sendiri - Maulana Muhammad Ilyas rah.a

072. Untuk si mukmin itu tiap-tiap tempat itu adalah masjid dan tiap-tiap hari itu adalah hari Jumaat. (Abu Hasan Al-Khirqani)

073. Daripada Qatadah r.a, dia mengatakan: Diceritakan kepada kami bahawa Umar ibn al-Khattab r.a telah membaca ayat Surah Al-‘Imran 3: 110 (Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia..), kemudiannya berkata, Wahai manusia! Sesiapa yang suka untuk menjadi sebahagian daripada ayat ini, maka tunaikanlah syarat Allah (yang terkandung) di dalamnya. (Ibnu Jarir daripada Qatadah sebagaimana dicatatkan dalam Kanzul-‘Ummal)

074. Hati yang rindu kepada Allah itulah hati yang paling baik. (Abu Hasan Al-Khirqani)

075. Janganlah benci kepada orang yang berdosa itu, kerana kamu tidak tahu sebelum ia meninggal dunia, mungkin ia bertaubat dan Allah terima taubatnya dan meninggikan darjatnya. (Dzun-Nun Al-Misri)

076. Apakah gunanya dunia jika itu menyebabkan kamu lupakan Allah. (Dzun-Nun Al-Misri)

077. Tanda orang yang beriman itu ialah dia menentang perkara keduniaan dan tidak pernah memuji makhluk. (Dzun-Nun Al-Misri)

078. Orang yang menggali asas dasar dunia ini dan di situ membina bangunan akhirat adalah orang yang bijak. (Hasan Al-Basri)

079. Akhir dunia dan awal akhirat ialah dalam kubur. (Hasan Al-Basri)

080.Memikirkan ayat-ayat Quran itu membawa kepada nur (cahaya) dan matlamat yang sama itu juga boleh dicapai dengan memikirkan kurniaan dan kemuliaan Allah. Quran itu menerbitkan cinta Allah kepada pembacanya. Fikirkanlah janji-janji Allah dan ini akan menerbitkan takwa kepada Allah. (Junaid Al-Baghdadi)

081. Apabila seseorang memikirkan rahmat Allah, ia akan dapat mengelakkan dosa kerana dia khuatir jika dia berbuat dosa, dia tidak akan diberi rahmat itu. (Junaid Al-Baghdadi)

082. Kebahagiaan itu dalam mengenang Allah. (Said Al-Khiraz)

083. Ibnu Umar berkata kepada orang yang memanggilnya sebagai faqih: Sesungguhnya orang yang faqih itu adalah orang yang zuhud kepada dunia dan sangat merindukan akhirat.(Syarah Ibnu Batthal 1/149, Syarah an-Nawawi 3/489 asy-Syamilah)

084. Abdullah bin Mas’ud radhiyallahu’anhu berkata: Bukanlah ilmu itu dengan banyaknya riwayat, akan tetapi hakikat ilmu itu adalah khas-yah/ rasa takut kepada Allah. (al-Fawa’id/142)

085. Sopan santun yang sebenarnya itu ialah kamu merasai Allah berserta dengan kamu dan apabila bercakap kamu berasa Allah berada di hadapan kamu. (Abdullah Manazil)

086. al-Hafiz Ibnu Rejab al-Hanbali rahimahullah berkata: “Ilmu yang bermanfaat merujuk kepada dua perkara, iaitu ilmu tentang keagungan Allah Ta’ala yang diketahui melalui nama-nama-Nya yang indah (al-husna) dan sifat-sifat-Nya yang mulia yang menjadi hak-hak-Nya. Dengan mengetahuinya, akan membawa kepada pengangungan, rasa takut, cinta (mahabbah), harapan, sabar, redha dan tawakkal hanya kepada Allah. Kedua, ilmu yang membawa kepada segala apa yang diredhai dan dicintai oleh Allah. Yang dengan ilmu tersebut menjadikan kita menjauhi segala apa yang dibenci dan dilarang oleh-Nya.” (Fadhlu ‘Imli as-Salaf ‘ala al-Kholaf)

087. Ada orang duduk bercampur gaul dengan perempuan dan mengatakan mereka tidak ada apa-apa meski pun mereka melihat kepada perempuan-perempuan itu. Saya katakan bahawa selagi nafsu mereka itu belum hapus seluruhnya, mereka hendaklah menurut undang-undang Quran dan menjauhkan diri dari perkara yang dilarang. (Qasim Al-Nasrabadi)

088. Kamu akan berasa kedamaian apabila bercakap tentang Allah sahaja. (Abu Bakar Al-Syibli)

089. Apa yang telah ditakdirkan untukmu pasti kamu dapat walau pun seribu halangan, dan apa yang tidak ditakdirkan untukmu dengan tidak ada usaha bagi pihakmu, kamu boleh mendapatnya. Oleh itu, apakah yang kamu dapat dengan mengamalkan zuhud. (Abu Bakar Al-Syibli)

090. Kebijaksanaan yang tinggi itu terletak menghargai sepenuhnya hidup ini dan menggunakannya di jalan Allah. (Abu Bakar Al-Syibli)

091. Bagi orang yang mencintai dunia, maka akan berkuranglah cintanya kepada Allah, sehingga lalai dalam munajat kepada Allah, kerana umumnya manusia digerakkan oleh apa yang dicintainya. (Imam Ghazali rahimahullah)

092. Imam Syafi'i rahimahullah menasihatkan: Berusahalah menjadi seorang yang mempelajari ilmu fiqh dan juga menjalani tasawuf, dan janganlah hanya mengambil salah satu darinya. Sesungguhnya demi Allah saya benar-benar ingin memberi nasihat kepadamu. Orang yang hanya mempelajari ilmu fiqh tetapi tidak mahu menjalani tasawuf, maka hatinya tidak dapat merasakan kelazatan takwa. Sedangkan orang yang hanya menjalani tasawuf tetapi tidak mahu mempelajari ilmu fiqh, maka bagaimana dia beroleh kebaikan? (Diwan Al-Imam Asy-Syafi'i/47)

093. Ibnu Abdil Bar menukil perkataaan Imam Ahmad bahawa beliau berkata: Berpeganglah dengan atsar sahabat dan al-hadits, dan sibukkanlah diri dengan hal-hal yang bermanfaat. Jauhilah berbantah-bantahan, kerana orang yang suka berdebat tidak akan pernah memperolehi kebaikan. (Jami al-Bayan al-Ilmi)

094. Imam al-Lalikai menukil perkataan Imam Malik bahawa beliau berkata: Aku membenci perdebatan dalam permasalahan-permasalahan agama. Dan penduduk negeri kita (Madinah) membenci dan melarangnya, seperti perdebatan pemikiran Jahmiah dan Qadariah dan yang serupa dengannya. Dan aku membenci perbincangan, kecuali perbincangan yang akan mendatangkan manfaat berupa amal. (Syarhul Usul I’tiqad Ahlussunnah wal Jamaah)

095. Sahabat r.hum meyakini ilmu agama, mengamalkan ilmu agama & menyampaikan ilmu agama. Apabila mereka bangun di atas ketiga-tiga asas ini, maka Allah telah memberi kejayaan kepada mereka dan menghancurkan kebatilan di seluruh dunia. Pada hari ini juga, sekiranya kita berjalan di atas tiga asas tersebut maka pasti Allah akan memberi kejayaan yang sama dan menghancurkan kebatilan di seluruh dunia dalam waktu yang singkat. - Maulana Qasmi Mohammad Shauket

096. Syekh Abdul Wahab Assyakroni menukilkan di dalam kitabnya: Barangsiapa dalam usaha agama dicaci maki orang dia sabar, ikhlas, redha, tidak marah, maka sebentar lagi dia akan diangkat Allah sebagai Imam(asbab) Hidayah. - Bayan KH. Khuzairon

097. Mukmin itu ialah mereka yang mempertahankan perintah Allah walau di mana dan di dalam keadaan apa jua, bukannya orang yang meninggalkan perintah Allah demi mempertahankan kebendaan dan keduniaan. Mukmin itu ialah mereka yang mengejar perintah Allah, bukannya orang yang mengejar keduniaan. Mukmin meyakini bahawa kebahagiaan ada di dalam perintah Allah bukan dalam asbab-asbab keduniaan. - Maulana Muhammad Yusuf rah.a

098. Ada orang bertanya kepada Abu Uthman Al-Hiri rahimahullah. Tuan, lidahku menyebut Allah tetapi fikiranku entah ke mana. Apa patut saya buat? Al-Hiri menjawab, Syukurlah kepada Allah kerana kurnianya dapat kamu menyebut nama Dia. Allah akan kurniakan pula kepada anggota-anggota yang lain jika kamu bersyukur kepada Allah.

099. Allah berfirman bahawa Dia menjadikan manusia untuk menghambakan diri kepadaNya, bukan untuk tujuan lain. (Abu Muhammad Royam)


100. Hidup di dunia ini umpama tidur dan hidup di akhirat umpama jaga. Jika seseorang itu menangis semasa mimpinya, dia akan ketawa apabila dia sedar. Begitu juga, orang yang menangis dalam dunia ini kerana takutkan Allah akan senyum di akhirat. (Yahya bin Ma'adz Ar-Razi)
Previous
Next Post »

Terima kasih telah membaca.
Berikan tanggapan Anda di kolom komentar. EmoticonEmoticon